mutakhir

12 murid SK Sena keracunan makanan

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

Kangar: Seramai 12 murid tahun empat Sekolah Kebangsaan (SK) Sena di sini, mendakwa mengalami keracunan makanan di sekolah berkenaan pagi hari ini.

Bapa kepada seorang murid yang enggan dikenali berkata, murid kelas anaknya membawa bahan mentah seperti sardin, roti, mayonis dan beberapa bahan lain bagi subjek Pendidikan Kesihatan.

Menurutnya, murid kemudiannya dibimbing guru untuk menyediakan sandwich sebelum dimakan oleh mereka beramai-ramai.

Katanya, seorang demi seorang murid mengadu mual dan sakit perut pada 10 pagi.

"Keadaan menjadi lebih membimbangkan apabila ramai murid terpaksa berulang-alik ke tandas kerana mengalami muntah dan cirit-birit.

"Berikutan keadaan itu, pihak sekolah terpaksa menghubungi ibu bapa bagi membawa murid itu pulang pada tengah hari tadi," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, anaknya kemudian memaklumkan kejadian itu berkemungkinan berlaku disebabkan mayonis yang sudah rosak ketika mereka menyediakan sandwich terbabit.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Perlis Rozieana Ahmad berkata, pihaknya sudah dimaklumkan mengenai perkara berkenaan dan menjalankan siasatan mengenai kejadian terbabit.

"Kejadian ini tidak membabitkan kantin sekolah kerana bahan asas penyediaan sandwich dibawa murid dari rumah.

"Bagaimanapun, pihak sekolah sudah meminta kesemua mereka dibawa pulang untuk berehat dan jika keadaan murid semakin serius, mereka diminta mendapatkan rawatan segera," katanya.

Disiarkan pada: October 21, 2020 @ 5:58pm
d