mutakhir

Akhirnya Rosli ada Mykad [METROTV]

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Sungai Petani: "Syukur akhirnya Rosli dapat memiliki Mykad dan memudahkannya untuk mendapatkan rawatan di hospital selain melakukan urusan lain pada masa depan," kata Rokiah Saad, 60.

Menurut Rokiah, anak tirinya, Rosli Ahmadi, 54, yang juga orang kurang upaya (OKU) itu terlantar sejak kecil dan dijaga ibu kandungnya sebelum meninggal dunia.

Katanya, dia kemudian dijaga bapa kandungnya, Ahmadi Adnan sebelum bapanya meninggal dunia tahun lalu.

"Kini saya menjaganya seperti anak sendiri dan saya tak pasti kenapa dia tidak mempunyai Mykad kerana sebelum ini dia hanya ada sijil kelahiran.

"Hari ini, saya berterima kasih kepada semua pihak yang membantu sehingga Rosli dapat Mykad," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kongsi Enam, Bedong di sini.

Mykad itu diserahkan oleh Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Kedah Yusman Hambali Ahmad dalam Program Mobile Ihsan JPN.

Yusman Hambali berkata, dalam kes itu, Rosli hanya mempunyai sijil kelahiran namun tidak mempunyai Mykad mungkin disebabkan dia terlantar sejak kecil.

Beliau berkata, pihaknya berterima kasih kepada pihak komuniti kawasan itu selain bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang mengeluarkan kad OKU berdasarkan sijil kelahirannya.

"Melalui kad OKU itu memudahkan kami untuk mengikut prosedur memproses dokumen sebelum mengeluarkan Mykad ini kepadanya," katanya.

Sementara itu, Yusman Hambali mengingatkan orang ramai supaya tidak mengambil sikap sambil lewa untuk memohon sijil kelahiran atau Mykad untuk anak mereka terutama yang membabitkan pernikahan tanpa kebenaran di luar negara.

Menurutnya, walaupun pernikahan itu sah dari segi syarak namun tidak didaftarkan pernikahan itu di negara ini menyebabkan anak yang dilahirkan sukar untuk dibinkan dengan bapa.

"Bila anak nak ambil Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) barulah masing-masing nak pohon sijil kelahiran menyebabkan kami terpaksa mengambil masa yang lama untuk memproses dokumen.

"Ini kerana kami terpaksa mencari bukti kelahiran disebabkan anak berkenaan sudah berusia 12 tahun dan ia memerlukan tempoh yang lama untuk siasatan dilakukan," katanya.

Yusman Hambali berkata, antara alasan yang kerap diterima termasuklah ibu bapa adalah penagih dadah menyebabkan kehidupan anak tidak terurus dan pernikahan di luar negara.

Katanya, apa yang penting adalah setiap kelahiran perlu didaftarkan sijil kelahiran terlebih dahulu supaya tidak timbul sebarang masalah di kemudian hari.

Disiarkan pada: October 21, 2020 @ 6:09pm
d