mutakhir

Kakitangan DBKL positif Covid-19

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengesahkan seorang kakitangannya positif Covid-19.

Dalam kenyataan medianya, DBKL memaklumkan kakitangan terbabit bertugas di Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta di Menara TH Perdana, Jalan Sultan Ismail, di sini.

Menurutnya, kakitangan terbabit menjalani ujian calitan pada 18 Oktober lalu di Klinik Kesihatan Rawang.

"Ujian itu dijalankan berikutan kakitangan terbabit adalah kontak rapat kepada kes positif pertama di DBKL.

"Beliau hadir mesyuarat pada 30 September lalu dan disahkan positif semalam seterusnya dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut.

"Sehingga semalam staf berkenaan tidak mengalami sebarang gejala dan ini adalah kes positif ketiga membabitkan kakitangan DBKL," katanya hari ini.

Menurutnya, DBKL dan Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKWPKL) sedang giat mengesan kontak rapat bagi kes terbaru ini untuk tindakan susulan.

Katanya, operasi nyahkuman sudah dibuat hari ini oleh Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL dan pemilik bangunan di tingkat 3,4,5,6,7,17, lobi dan lif Menara TH Perdana.

"Pihak jabatan berkaitan sudah menghantar senarai nama kontak rapat kepada pesakit ke Pejabat Kesihatan Daerah Gombak hari ini untuk tindakan lanjut manakala Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hadir ke lokasi bagi menjalankan analisa risiko.

"Operasi di menara ini berjalan seperti biasa namun prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan KKM diperketatkan bagi menjamin keselamatan pengunjung dan kakitangan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 21, 2020 @ 6:10pm
    d