mutakhir

Dipukul kerana selisih faham

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Gombak: Hanya kerana perselisihan faham, seorang pemandu lori yang sedang berehat di parkir Kawasan Perindustrian Greatyear Capital, Rawang, di sini, cedera akibat dibelasah empat lelaki, Sabtu lalu.

Dalam kejadian 8 malam, lelaki berusia 36 tahun itu didatangi suspek bertanya mengapa meletakkan lorinya di kawasan itu.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, mangsa memberitahu dirinya adalah penduduk di situ dan kerap berehat di kawasan terbabit.

Menurutnya, kumpulan suspek yang tidak berpuas hati memukul mangsa menggunakan topi keledar, getah paip dan parang menyebabkan lelaki itu cedera di kepala, muka, dagu dan badan.

Katanya, mangsa kemudian mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Selayang.

"Usaha memburu suspek sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan," katanya.

Disiarkan pada: October 21, 2020 @ 6:12pm
d