mutakhir

Bomba selamatkan lelaki mandi di sungai

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Anggota bomba berjaya menyelamatkan seorang lelaki berusia 50-an yang terjun ke dalam Sungai Tanjung Charlie, Seberang Perak, di sini hari ini

Lelaki itu dipercayai kurang siuman itu dipercayai berbuat demikian untuk mandi dan bukannya membunuh diri namun tindakannya itu boleh membahayakan keselamatannya.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 4.12 petang.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja tiba di lokasi jam 4.14 petang.

"Operasi disertai seramai tujuh anggota yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Arizal Mahmud.

"Anggota kami mengunakan tali dan jaket keselamatan dan berjaya membawa mangsa naik ke tebing dengan selamat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira 11 minit untuk menaikkan mangsa sebelum operasi tamat.

Disiarkan pada: October 21, 2020 @ 7:06pm
d