mutakhir

Lelaki maut dilanggar lari

Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Taiping: Seorang lelaki maut selepas dilanggar lari kenderaan berat dalam kejadian di Jalan Persekutuan Batu 11, Jalan Ulu Sepetang-Redang Panjang, di sini, semalam.

Identiti mangsa yang maut dalam kejadian 5.30 pagi itu masih belum dikenalpasti.

Ketua Polis Daerah Taiping Asisten Komisoner Osman Mamat berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang sedang berjalan dipercayai dilanggar dalam perjalanan dari Batu Kurau menghala Kamunting.

"Apabila sampai di tempat kejadian, suspek melanggar mangsa yang berada di bahu jalan lalu beredar meninggalkan tempat kejadian sejurus itu. Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

"Tiada sebarang kad identiti ditemui pada mangsa. Kini polis sedang mengesan waris si mati di samping kenderaan yang terbabit dalam insiden ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Osman berkata, kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan diminta tampil menghubungi balai polis berhampiran.

Disiarkan pada: October 22, 2020 @ 8:23am
d