mutakhir

Ibu tunggal tujuh anak mengaku tawar khidmat seks [METROTV]

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

Kangar: Seorang tukang urut wanita mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana menawarkan khidmat seks di sebuah rumah di Behor Temak, pada 16 Oktober lalu.

Tertuduh, 37, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Kamaliza Md Zain.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menawarkan khidmat seks bagi maksud persundalan di Behor Temak pada 11.20 malam 16 Oktober lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Jodia Por Yi Tying, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Wan Nursyaheedah Wan Najmi dan Nur Diyana Ab Shukor.

Wan Nursyaheedah dalam rayuannya memohon tertuduh dikenakan hukuman ringan berikutan hanya bekerja sebagai tukang urut di sebuah spa dan menyara tujuh anak berusia antara tiga hingga 17 tahun.

Kamaliza kemudian menetapkan tertuduh didenda RM4,000 dan sekiranya gagal membayar denda dia akan dipenjara selama lapan bulan.

Disiarkan pada: October 22, 2020 @ 2:07pm
d