mutakhir

Selamba guna logo halal tanpa kebenaran [METROTV]

Oleh Nur Izzati Mohamad

Bukit Mertajam: Beroperasi selama 20 tahun dengan menggunakan logo halal tanpa kebenaran sebelum produk itu digunakan restoran dan kedai makan di Pulau Pinang sehingga menimbulkan rasa was-was di kalangan pengguna beragama Islam.

Begitu kegiatan yang dilakukan sebuah kilang memproses kicap dan sos di Mengkuang, di sini, apabila perbuatan itu akhirnya terbongkar dalam serbuan kira-kira 11 pagi tadi.

Serbuan dilakukan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang serta Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP).

Pegawai Kesihatan Persekitaran Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) JKNPP, Mohd Wazir Khalid berkata, serbuan dibuat selepas pihak KPDNHEP melakukan risikan terhadap premis yang beroperasi di sebuah rumah papan.

"Pemeriksaan mendapati keadaan kilang itu amat berbahaya kerana beroperasi di bangunan berstruktur papan, manakala pendawaian elektrik juga sudah lama dan berisiko berlaku litar pintas yang boleh menyebabkan kebakaran.

"Dalam pada itu, produk yang dikeluarkan juga tidak disimpan dengan baik apabila terdapat perkakas serta tong lama yang kotor dilonggokkan sekali gus menyalahi peraturan kebersihan ditetapkan.

"Malah, logo halal dan MESTI yang digunakan pada semua produk yang dikeluarkan juga tidak mendapat kebenaran pihak berkaitan dan perkra ini amat serius," katanya ketika ditemui selepas operasi di kilang itu.

Katanya, pihaknya mengarahkan premis itu ditutup selama dua minggu, selain dikompaun mengikut Peraturan 11(2) Peraturan Kebersihan Makanan 2009 dan Peraturan 34 peraturan sama dengan nilai keseluruhan berjumlah RM5,500.

Sementara itu, Mohd Wazir berkata, pihaknya menasihatkan kilang dan premis yang memproses produk makanan supaya mengamalkan tahap kebersihan mengikut piawaian ditetapkan.

"Seperti dalam serbuan hari ini, tahap kebersihan premis ini sangat tidak memuaskan dan boleh mengundang kepada pembiakan jentik-jentik serta kehadiran binatang seperti lipas, cicak dan tikus.

"Walaupun negara dilanda Covid-19, ia tidak bermakna tiada tindakan penguat kuasaan diambil," katanya.

Disiarkan pada: October 22, 2020 @ 3:04pm
d