mutakhir

Pernah diserbu, tapi masih tidak serik

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

Manjung: Berselindung di sebalik perniagaan kedai runcit dan kad tambah nilai, dua premis ejen nombor ramalan tidak berlesen mampu mengaut hasil jualan antara RM1,000 hingga RM2,000 sehari.

Bagaimanapun, kegiatan dua premis di Sitiawan itu tidak bertahan lama apabila diserbu dalam operasi bersepadu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung pada 3.30 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, dua premis berkenaan dipercayai mengambil komisen jualan sebanyak 18 peratus daripada jualan harian.

Menurutnya, sebelum ini, suspek yang menjalankan kegiatan di dua premis itu juga sudah didakwa di mahkamah dan dikenakan tindakan, namun mereka masih tidak serik.

"Sebuah premis telekomunikasi sudah diserbu sebanyak 10 kali dan sebuah lagi premis yang menjalankan perniagaan runcit pula sudah lima kali dikenakan tindakan atas kesalahan sama mengikut Seksyen 9(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

"Polis mengesan kedua-dua premis berkenaan masih menjalankan kegiatan sama dan mereka seolah-olah tidak takut walaupun sudah diserbu dan dikenakan tindakan sebelum ini.

"Susulan itu, polis mengambil tindakan lebih tegas dengan memotong bekalan elektrik di dua premis itu dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengikut Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nor Omar berkata, pada tahun ini, sebanyak 10 premis sudah dikenakan tindakan pemotongan bekalan elektrik di daerah Manjung.

Katanya, polis tidak berkompromi terhadap mana-mana individu dan premis menjalankan aktiviti perjudian.

"Pemotongan bekalan elektrik di premis perjudian akan dilaksanakan secara komprehensif dan berterusan dalam membanteras kegiatan ini," katanya.

Disiarkan pada: October 22, 2020 @ 3:13pm
d