mutakhir

'Disergah' beruang matahari di kebun

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

Marang: "Saya tergamam melihat beruang itu berada di dalam kawasan kebun, nasib baik beruang itu beredar dan tidak menerkam saya," kata Ghazali Yaacob, 63, ketika menceritakan detik cemas terserempak dengan seekor beruang matahari di kebunnya, di sini, kelmarin.

Ghazali atau lebih mesra dipanggil Pak Awang Man berkata, dia difahamkan beruang itu berkeliaran di kawasan kebun miliknya sejak sebulan yang lalu.

"Sebelum ini saya pernah menjumpai 'sarang' beruang itu di atas pokok di kawasan hutan berdekatan kebun tetapi tidak pernah terserempak dengannya.

"Sehinggalah kelmarin, saya melihat beruang itu di kebun ketika ingin menguruskan tanaman di situ.

"Beruang itu merosakkan sepohon pokok kelapa kerana ingin mendapatkan umbuk menyebabkan saya bimbang jika kejadian itu berulang seterusnya menyebabkan kerugian lebih besar," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, dia sudah memaklumkan kejadian itu kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu untuk tindakan lanjut.

"Selagi beruang itu tidak ditangkap, saya bimbang untuk ke kebun menguruskan tanaman kelapa, limau langkap dan sawit yang diusahakan lebih lima tahun lalu.

"Beruang itu sangat besar sehingga mampu merobohkan pagar. Ia juga jinak kerana sering terserempak dengan penduduk tetapi pada masa sama boleh mengancam keselamatan orang ramai," katanya.

Katanya, dia berharap Perhilitan segera mengambil tindakan yang sewajarnya termasuk memasang perangkap untuk menangkap haiwan liar itu.

"Berkemungkinan jumlah beruang lebih daripada seekor atau berpasangan," katanya.

Disiarkan pada: October 22, 2020 @ 3:27pm
d