mutakhir

Menyamar pengarah urusan pasar raya, tipu 46 warga emas [METROTV]

Oleh Ruwaida Md Zain

Shah Alam: Mengaku sebagai pengarah urusan pasar raya kepada warga emas yang datang bersendirian dan meyakinkan mangsa bahawa dia memenangi cabutan bertuah serta bakal membawa pulang kereta.

Itu modus operandi seorang lelaki sehingga memperdaya 46 warga emas berumur 65 tahun ke atas sebelum melarikan kad ATM serta kad kredit mangsa.

Bagaimanapun tindakan licik lelaki tempatan berumur 41 tahun itu berakhir apabila dia dikesan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Selangor Ogos lalu.

Ketua JSJK Selangor, Asisten Komisioner Muhammad Yazid Muhammad Yew berkata, sekitar awal Ogos lalu, JSJK Selangor mengesan suspek yang dipercayai menawarkan hadiah yang tidak wujud sekitar pasar raya di Selangor susulan laporan mangsa.

"Taktik digunakan suspek ialah menjadikan warga emas sebagai sasaran dengan menyamar sebagai pengarah urusan daripada pasar raya dan menyatakan mangsa memenangi hadiah cabutan bertuah, sama ada Toyota Avanza atau Toyota Vios.

"Kemudian mangsa diminta menyerahkan kad kredit serta lesen memandu bagi pendaftaran dan insurans bagi mendapatkan kenderaan berkenaan, meminta nombor pin sebelum menghilangkan diri.

"Kebanyakan mangsa percaya kepada suspek kerana jawatan dan cara berpakaian kelihatan seperti golongan profesional," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di sini hari ini.

Muhammad Yazid berkata, sebanyak 46 laporan polis diterima berhubung kes penipuan itu membabitkan kerugian RM456,542 di tujuh daerah di Selangor iaitu di Ampang Jaya, Klang Selatan, Klang Utara, Petaling Jaya, Serdang, Shah Alam dan Subang Jaya.

"Polis percaya kes itu didalangi suspek yang sama. Pada 17 Oktober, bertindak atas maklumat, JSJK berjaya menangkap suspek yang juga seorang penganggur di rumahnya di Pelabuhan Klang pada jam 2 petang.

"Semasa tangkapan, turut dirampas 158 kad perniagaan tertera pelbagai nama pasar raya terkemuka di negara ini atas nama Desmond Lee dengan jawatan sebagai Pengarah Urusan, enam keping lesen memandu milik enam individu dipercayai milik mangsa.

"Dua helai kemeja dan sehelai seluar dipercayai digunakan suspek berdasarkan maklumat rakaman kamera litar tertutup (CCTV), 32 kad ATM pelbagai bank dan 10 keping kad kredit pelbagai bank dipercayai milik mangsa," katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau termasuk pernah dipenjarakan mengikut Seksyen 304 (B) Kanun Keseksaan.

"Hukuman penjara sudah dijalankan selama tujuh tahun dari tarikh ditangkap pada 2008," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan menipu dan direman sehingga esok untuk membantu siasatan polis.

Beliau juga menyeru orang ramai agar tidak mudah terperdaya dengan hadiah yang ditawarkan oleh pihak tidak dikenali.

"Buat semakan terlebih dulu dengan pihak pengurusan pasar raya.

"Mana-mana individu yang pernah menjadi mangsa dan ditawarkan hadiah oleh suspek, sila tampil membuat laporan polis untuk membantu siasatan.

"Polis juga sedang bekerjasama dengan institusi kewangan untuk mengesan pemilik kad bank yang dirampas dari suspek," katanya.

Disiarkan pada: October 22, 2020 @ 4:41pm
d