mutakhir

Enam kluster baharu Covid-19 [METROTV]

Oleh Mahaizura Abd Malik dan Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti enam kluster baharu dilaporkan, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster baharu pertama dikenal pasti adalah Kluster Tinusa yang dilaporkan di Sandakan, Sabah.

"Kes indeks kluster ini dikenal pasti melalui hasil saringan individu bergejala pada 6 Oktober lalu sebelum dimasukkan ke Hospital Duchess of Kent.

"Saringan kontak rapat dilakukan mengenal pasti 33 lagi kes positif. Sehingga jam 12 tengah hari tadi, seramai 586 individu disaring dengan 33 kes positif, 486 individu negatif dan 67 individu masih menunggu keputusan," katanya pada sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, kluster kedua adalah Kluster Sauh yang dilaporkan di Kota Kinabalu dan Papar, Sabah selain Miri, Sarawak.

"Kes indeks bagi kluster ini adalah dua individu didapati positif hasil saringan individu bergejala pada 13 Oktober lalu sebelum masing-masing dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu dan Hospital Miri.

"Saringan kontak rapat dilakukan mendapati 15 lagi kes positif. Sehingga jam 12 tengah hari tadi, seramai 149 individu disaring dengan 17 kes dikesan positif dan 132 individu negatif," katanya.

Beliau berkata, satu lagi kluster dikenal pasti adalah Kluster Jambu yang dilaporkan di Hulu Langat, Selangor dengan kes indeks dikenal pasti positif hasil saringan pra pembedahan pada 16 Oktober lalu sebelum dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

"Saringan kontak rapat dilakukan mengenal pasti 13 lagi kes positif. Sehingga jam 12 tengah hari tadi, seramai 139 individu disaring dengan 15 kes dikesan positif dan 124 masih menunggu keputusan.

"Kluster keempat ialah Kluster Sofi pula dilaporkan di Seremban, Negeri Sembilan dengan kes indeks bagi kluster ini adalah hasil saringan individu bergejala pada 20 Oktober lalu.

"Saringan kontak rapat dilakukan mendapati 33 lagi kes positif bagi kluster ini. Sehingga jam 12 tengah hari tadi, seramai 160 individu disaring dengan 34 kes dikesan positif, 11 individu negatif dan 115 individu masih menunggu keputusan," katanya.

Katanya, kluster kelima dikenal pasti adalah Kluster Bah Mutiara yang dilaporkan di Hulu Langat, Selangor serta Titiwangsa dan Lembah Pantai, Kuala Lumpur.

"Kes indeks kluster ini yang mempunyai sejarah perjalanan dari Sabah dikenal pasti melalui hasil saringan individu bergejala pada 23 Oktober lalu sebelum dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

"Saringan kontak rapat dilakukan mengenal pasti sembilan lagi kes positif. Sehingga jam 12 tengah hari tadi, seramai 96 individu disaring dengan 10 kes positif dan 86 individu masih menunggu keputusan," katanya.

Menurutnya, kluster keenam dikenal pasti adalah Kluster Umboo yang dilaporkan di Alor Gajah, Melaka.

"Kes indeks bagi kluster ini iaitu kes ke-21,322 didapati positif hasil saringan di Depoh Tahanan Imigresen pada 18 Oktober lalu sebelum dimasukkan ke Hospital Melaka.

"Saringan kontak rapat dilakukan mendapati tiga lagi kes positif. Sehingga jam 12 tengah hari tadi, seramai 373 individu disaring dengan empat kes dikesan positif, 218 individu negatif dan 151 individu masih menunggu keputusan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 22, 2020 @ 7:20pm
    d