mutakhir

Hukuman setimpal untuk pemandu mabuk

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: "Alhamdulillah. Terima kasih kepada kerajaan".

Itu reaksi Abd Rahman Sulaiman, 56, susulan pengumuman Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong mengenai Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 yang mengenakan hukuman lebih berat kepada pesalah jalan raya khususnya pemandu bawah pengaruh alkohol dan dadah akan mula dikuat kuasa esok.

Anak keduanya, Iskandar Abd Rahman, 26, maut dalam kemalangan selepas motosikal ditunggang bergesel dengan Perodua Myvi dipandu lelaki warga Pakistan di persimpangan lampu isyarat Jalan Tuanku Abdul Rahman menghala ke Jalan Tun Perak di sini, pada jam 8.30 malam, 25 Januari lalu.

"Apa membuatkan saya kesal, pemandu yang dipercayai mabuk ketika kejadian masih gagal dikesan kerana melarikan diri dan hanya rakannya ditahan.

"Lebih merumitkan keadaan suspek adalah warga asing dan memandu kereta sewa," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menceritakan semula kejadian, Abd Rahman berkata, anaknya yang bekerja sebagai penghantar makanan dalam perjalanan menghantar pesanan kepada pelanggan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas dihempap kereta dipandu suspek.

"Saya bersetuju akta itu dipinda dan berharap lebih banyak pembaharuan berhubung kesalahan jalan raya diteliti kerajaan selepas ini.

"Ia termasuk undang-undang yang lebih ketat terhadap syarikat sewa kereta supaya tidak sewenang-wenangnya menyewakan kereta kepada warga asing," katanya.

Noorlyana Hasan, 25, yang kehilangan kakak dan abang iparnya selepas dipercayai dilanggar pemandu mabuk dalam kejadian kemalangan 9 Februari lalu, turut bersyukur dengan pindaan berkenaan.

Katanya, walaupun undang-undang itu mungkin tidak terpakai untuk kes kemalangan kakak, Zuriana Hasan, 35 dan abang iparnya, Khairizul Mohamad Noor, 38, tetapi ia memberi peringatan kepada orang ramai agar tidak melakukan kesalahan sama.

"Setakat ini, kes masih tertangguh di mahkamah dan difahamkan bulan depan (akan bermula). Saya berharap ada keadilan buat arwah," katanya yang turut menjaga lima anak arwah di rumah keluarga di Bagan Jermal, Butterworth, Pulau Pinang.

Bapa lima beradik yatim piatu itu maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah manakala ibu meninggal dunia selepas dua bulan koma ketika dirawat di Hospital Seberang Jaya (HSJ).

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pengguna Jalan Raya Kebangsaan (PPJK) Mohammad Hisham Shafie mengalu-alukan penguatkuasaan Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 yang memberi peringatan lebih tegas kepada pengguna jalan raya.

"Akta itu memberi impak besar kepada pemandu terutama yang sering mengambil minuman keras dan dadah di pusat hiburan.

"Sudah pasti memberi kerisauan dan ketakutan kepada mereka untuk tidak memandu di bawah pengaruh alkohol serta dadah. Kalau buat juga, hukuman berat menanti mereka," katanya.

Disiarkan pada: October 22, 2020 @ 7:33pm
d