mutakhir

Amaran ESSCOM buat tekong darat

Oleh Juwan Riduan

Lahad Datu: Individu dipercayai tekong darat yang aktif dalam penyeludupan pendatang asing tanpa izin (Pati) mahupun rokok dan dadah, di perairan Sabah sudah dikenal pasti.

Berikutan itu, Komander Kawasan Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSCOM) Datuk Ahmad Fuad Othman memberi amaran kepada kumpulan itu agar tidak melakukan kegiatan yang boleh memakan diri mereka.

Katanya, pihaknya kini menunggu masa untuk menangkap kumpulan itu dan individu dalam senarai dikehendaki.

"Tekong darat yang berada di Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSZONE), terutamanya di semua kawasan panas, dinasihatkan supaya menghentikan kerja ini, kita akan mendakwa mana-mana pihak yang ditangkap.

"Saya bagi amaran serius. Kita sudah mengenalpasti beberapa individu dalam senarai ESSCOM untuk diambil tindakan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Ahmad Fuad berkata, ESSCOM melalui OP Cegah Pati (OCP) akan sentiasa memperketatkan kawalan dan memperkasa rondaan sama ada di laut, darat dan udara.

Katanya, operasi disusun berdasarkan jumlah aset dan kekuatan anggota membabitkan kerjasama semua agensi keselamatan.

Beliau juga meminta orang ramai supaya bekerjasama dan melaporkan sebarang cubaan jenayah dan penyeludupan kepada pusat operasi ESSCOM atau mana-mana balai polis berhampiran bagi mengekang aktiviti itu.

Disiarkan pada: October 23, 2020 @ 12:02pm
d