mutakhir

Bahana cuba tikam wanita dengan parang

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Kulim: Polis menahan warga asing yang cuba menikam seorang wanita dan merosakkan dua motosikal milik ahli keluarga mangsa di Kampung Merbuk, Karangan di sini, malam tadi.

Lelaki itu yang juga penganggur berusia 28 tahun ditahan anggota ronda cegah jenayah Balai Polis Sungai Kob dengan bantuan orang awam di Kampung Jalan Baru Sedim, Karangan, pada 8.30 malam.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim berkata, suspek warganegara Thailand tiada rekod jenayah lampau, kini disiasat mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan dan Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Katanya, pihaknya turut merampas sebilah parang berukuran 53 sentimeter dipercayai digunakannya ketika cuba menikam mangsa dalam kejadian jam 7 malam, Rabu lalu.

"Ketika kejadian, mangsa yang juga tukang masak berusia 35 tahun sempat mengelak serangan suspek dengan memegang tangannya. Suspek menceroboh ketika mangsa dan neneknya sedang menonton televisyen.

"Suspek dikatakan mengacukan parang dan sebatang besi ke arah mangsa serta cuba menikamnya dengan parang. Dia juga melakukan perbuatan sama ke arah nenek mangsa.

"Mangsa menjerit meminta tolong menyebabkan suspek keluar dari rumah itu dan merosakkan dua motosikal jenis Honda RS dan Yamaha R25 milik adik dan ibu saudaranya," katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk motif serangan itu.

Disiarkan pada: October 23, 2020 @ 12:06pm
d