mutakhir

20 penghuni cemas, asrama sekolah terbakar

Oleh Mohd Roji Kawi

Sibu: Seramai 20 penghuni asrama Sekolah Menengah (SM) Citizen di sini, cemas apabila bangunan dua tingkat dihuni terbakar, hari ini.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM)

Sarawak berkata, semua penghuni yang terdiri daripada seorang guru bersama dua anaknya, lapan pelajar lelaki serta sembilan pelajar perempuan tinggal di tingkat atas bangunan berkenaan.

Katanya, seramai 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sentral Sibu dikejarkan ke tempat kejadian sebaik pihaknya menerima laporan pada 7.40 pagi.

"Setibanya di lokasi, didapati api marak di tingkat atas bangunan separa kekal itu yang menempatkan asrama, manakala tingkat bawah dijadikan dewan makan.

"Ketika kejadian itu, semua penghuni sempat keluar menyelamatkan diri," katanya.

Beliau berkata, bomba berjaya mengawal kebakaran pada 8.15 pagi dan api padam sepenuhnya pada 9.40 pagi.

Siasatan lanjut dijalankan bagi mengenal pasti punca kebakaran.

Disiarkan pada: October 23, 2020 @ 12:11pm
d