mutakhir

Derita Ammar

Oleh Noorazura Abdul Rahman

Padang Terap: Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Itulah penderitaan yang ditanggung seorang bayi berusia tiga bulan apabila hatinya berada di luar badan selain mengalami masalah jantung berlubang serta tidak mempunyai telinga kanan.

Ibunya, Norliza Mohd Saad, 35, berkata anaknya Muhammad Ammar Sanudin memerlukan penjagaan rapi di rumah untuk mengelak daripada sebarang risiko lain.

"Hatinya perlu dibersihkan dua kali sehari, jika tidak ia akan berbau dan saya akan bawa anak berjumpa doktor pakar di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar minggu hadapan.

"Selepas itu barulah doktor akan tentukan rawatan lanjut untuk anak bongsu saya ini," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Perik, Kuala Nerang.

Bercerita lanjut, ibu kepada lima anak ini berkata selepas dia berhenti kerja sebagai pembantu kedai makan, sumber pendapatan keluarga bergantung penuh kepada suaminya, Sanudin Ibrahim, 46, yang bekerja sebagai penoreh getah.

Katanya, pendapatan suami yang tidak menentu menyebabkan mereka pernah terputus bekalan beras dan wang saku tiga anaknya yang masih bersekolah.

"Mujur ada saudara mara yang sentiasa membantu, anak ketiga saya Amni Qaisara, 8, juga mengidap jantung berlubang sejak kecil bagaimanapun Alhamdulillah dia dapat bantuan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) RM200 sebulan.

"Wang ini sedikit sebanyak membantu untuk rawatan susulan Amni di HSB dan Hospital Pulau Pinang (HPP)," katanya.

Bagi orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian di nombor akaun Bank Islam atas nama Norliza bernombor 02039024871749 atau menghubunginya di talian 014-9421670.

Disiarkan pada: October 23, 2020 @ 12:20pm
d