mutakhir

Fadzliana, Nurul Hanin CO Kapal APMM [METROTV]

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

Lumut: Bukan calang-calang orang diangkat menjadi Pegawai Memerintah (CO) kapal, namun itu yang dilaksana Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) apabila melantik dua pegawai wanita menjawat jawatan itu.

Leftenan Komander Fadzliana Fadzil dan Leftenan Maritim Nurul Hanin Mohd Isa masing-masing kini menjadi CO Kapal Maritim (KM) Tugau dan KM Nyalau.

Fadzliana, 37, sebelum ini Penolong Pengarah Kanan Seksyen Dasar Pengurusan Kompetensi, Cawangan Dasar Latihan dan Pengurusan Kompetensi Bahagian Sumber Manusia, Ibu Pejabat APMM Putrajaya, manakala Nurul Hanin, 39, adalah Penolong Pengarah Kanan Unit Penguatkuasaan dan Eksesais, Seksyen Operasi APMM Pulau Pinang.

Kedua-duanya menerima lantikan itu dalam Majlis Serah Terima Tugas di Ibu Pejabat APMM Perak di sini, hari ini yang disaksikan Pengarah APMM Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman.

Fadzliana ketika berucap, menyampaikan penghargaan dan terima kasih kepada pengurusan tertinggi agensi atas kepercayaan yang diberikan kepada mereka untuk mengetuai aset agensi.

Katanya, mereka akan menggalas tanggungjawab dengan sebaik mungkin, melakukan penugasan dan pemantauan yang mengutamakan sifar kemalangan di laut.

"Kami berharap dapat meneruskan komitmen dan kerjasama baik dengan semua warga kapal serta APMM Perak demi kecemerlangan," katanya.

Terdahulu, KM Tugau diterajui Leftenan Komander Maritim Mohd Badri Barid Abdullah yang kini menjawat CO KM Rawa, manakala KM Nyalau oleh Leftenan Komander Maritim Aida Arzahari yang kini ke Putrajaya sebagai Penolong Pengarah Kanan, Seksyen Dasar Luar Negara, Cawangan Dasar Operasi, Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan Maritim.

Sementara itu, Shahrizan berkata, pelantikan Fadzliana dan Nurul Hanin bukti tiada diskriminasi tugas terhadap pegawai dan anggota wanita dalam APMM.

"Perlantikan mereka menjadikan APMM Perak kini mempunyai dua CO wanita selepas Aida yang juga wanita pertama menjadi CO, bertukar ke ibu pejabat.

"Jantina bukan penghalang untuk penjawatan di kapal dan sehingga kini APMM Perak mempunyai enam anggota wanita yang bertugas di tiga kapal. Kami sentiasa memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada mereka," katanya.

Disiarkan pada: October 23, 2020 @ 1:38pm
d