mutakhir

Tanam dadah dalam tanah [METROTV]

Oleh Hamzah Osman

Langkawi: Polis merampas kira-kira 11.5 kilogram (kg) dadah heroin dan syabu bernilai RM594,200 susulan penahanan empat lelaki dalam tempoh tiga jam di sini, kelmarin.

Ketua Polis Kedah, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, pada mulanya, dua suspek berusia 24 dan 37 tahun ditahan di sebuah rumah di Taman Cenderawasih pada jam 1 tengah hari.

"Ketika serbuan, polis merampas tiga paket plastik kecil berisi dadah jenis syabu seberat 1.03 gram (g) dalam beg kecil milik suspek pertama.

"Sejumlah 57 g dadah sama dirampas pula daripada suspek kedua di dalam sebuah bilik di rumah berkenaan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kedah, Asisten Komisioner Mohd Zaki Ashar dan Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim.

Hasanuddin berkata, hasil soal siasat ke atas suspek, polis menemui dadah jenis syabu seberat 102 g dan heroin (103 g) disembunyikan di celah dinding di sebuah pondok di Kampung Bayas, di sini.

"Sementara, suspek ketiga berusia 31 tahun ditahan juga bersama dadah syabu seberat 15.03 g di tempat letak kereta sewa di Jalan Penarak pada 2.30 petang.

"Rampasan terbesar membabitkan dadah heroin seberat 11.446 kilogram (kg) susulan penahanan suspek keempat berusia 53 tahun di Kampung Bukit Tangga, di sini.

"Bagi kes ini, dadah diisi dalam beg galas, dimasukkan dalam guni dan disembunyikan dengan menanam dalam tanah sedalam kira-kira 0.5 meter," katanya.

Beliau berkata, tiga daripada suspek disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, manakala seorang lagi mengikut Seksyen 12(2) akta sama.

Disiarkan pada: October 23, 2020 @ 2:04pm
d