mutakhir

Dapatkan nasihat pakar tentukan PRN Sarawak

Oleh Mohd Roji Kawi

Kuching: Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg meminta nasihat pakar terutamanya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi menentukan masa sesuai untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12).

Ketua Menteri itu berkata, nasihat pakar perlu kerana Sarawak mengutamakan keselamatan rakyat, meskipun keadaan kini semakin mendesak untuk kerajaan negeri mendapatkan mandat baharu selepas tempoh Dewan Undangan Negeri (DUN) berakhir pada April tahun depan.

"Kita tidak dapat mengelak daripada mengadakan pilihan raya kerana jangka hayat DUN sekarang akan berakhir tidak lama lagi.

"Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) kini sedang meneliti dua isu utama ini, pilihan raya dan Covid-19," katanya pada sidang media Bantuan Khas Sarawakku Sayang 4.0 (BKSS 4.0) di Wisma Bapa Malaysia, di sini, hari ini.

Abang Johari berkata, selepas tempoh DUN berakhir pada April, Sarawak mempunyai tempoh 120 hari iaitu sehingga Jun tahun depan sebelum pembubaran berlaku secara automatik.

"Kita tidak dapat meramalkan bila Covid-19 akan tinggal satu angka atau berakhir sepenuhnya. Kami akur kepada nasihat KKM bila pilihan raya harus diadakan. Ini bukan bermakna saya gila kuasa.

"Saya juga faham dan prihatin dengan keselamatan kesihatan rakyat, tetapi kita tidak boleh mengatur dan melaksanakan langkah-langkah untuk membantu rakyat daripada pandemik Covid-19 jika tidak mempunyai mandat, "katanya.

Abang Johari mengakui, situasi sekarang amat rumit kerana beliau harus mempertimbangkan antara keselamatan rakyat dan perlunya kerajaan memiliki manda.

"Yang penting kita mesti mempunyai pemerintah yang mempunyai mandat bukan hanya untuk mengurus Covid-19, tetapi juga untuk mentadbir negeri dan menguruskan ekonomi," katanya.

Abang Johari berkata, beliau tidak mahu peningkatan kes seperti yang berlaku di Sabah turut berlaku di Sarawak selepas pilihan raya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 23, 2020 @ 2:32pm
    d