mutakhir

Tiada majlis sambutan Maulidur Rasul di Negeri Sembilan

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Semua aktiviti atau majlis peringkat negeri termasuk sambutan Maulidur Rasul 1442H dibatalkan susulan peningkatan kes positif Covid-19 di negeri itu sejak kebelakangan ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, semua mesyuarat dan perhimpunan kerajaan negeri yang membabitkan kehadiran orang ramai dibatal atau ditangguhkan mulai Isnin ini.

Katanya, penganjuran majlis perkahwinan perlu diberikan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat.

"SOP bagi majlis perkahwinan wajib dipatuhi dan jadual untuk tetamu hadir ke majlis itu perlu diwujudkan.

"Jika boleh, masa majlis perkahwinan dipanjangkan supaya tetamu tidak tertumpu pada satu-satu masa," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) Khas Covid-19, di sini, hari ini.

Aminuddin berkata, SOP berkaitan solat Jumaat perlu dipatuhi manakala setiap jemaah amat digalakkan untuk membawa sejadah sendiri ketika berada di masjid atau surau.

Beliau berkata, jawatankuasa masjid dan surau diminta mengadakan solat hajat di kawasan masing-masing bagi menghentikan penularan wabak Covid-19.

Menurutnya, kakitangan atau pekerja yang mempunyai kontak rapat positif Covid-19 disaran melakukan kuarantin kendiri dan bekerja dari rumah, di bawah bidang kuasa majikan atau ketua jabatan masing-masing yang boleh menetapkan tempoh yang bersesuaian.

"Pekerja dan majikan dinasihatkan untuk merujuk surat edaran Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi sektor awam dan laman sesawang Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bagi sektor swasta," katanya.

Dalam pada itu, beliau meminta orang ramai mendapatkan maklumat dan berita mengenai jangkitan Covid-19 melalui sumber yang sahih iaitu Kementerian Kesihatan (KKM) supaya tidak menimbulkan keadaan panik berikutan penyebaran berita palsu yang berleluasa.

"Terdapat berita tidak tepat atau berunsur spekulasi berkaitan Covid-19 disebarkan pihak tertentu dan ini boleh menimbulkan keresahan orang ramai selain menjejaskan ekonomi setempat," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 23, 2020 @ 3:46pm
    d