mutakhir

2 anggota polis kena POCA bakal ditahan kerja

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Dua anggota polis yang ditahan mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 kerana dipercayai membantu melindungi kegiatan 'cuci duit' oleh sindiket Macau Scam dan judi dalam talian berpangkalan di China, akan dikenakan perintah tahan kerja.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Datuk Zamri Yahya berkata, perintah itu bagi membolehkan pihaknya menjalankan siasatan susulan kes membabitkan kedua-dua anggota itu.

Menurutnya, tindakan tatatertib akan menyusul bersama tindakan lain selepas siasatan selesai.

"Sekarang ini JIPS masih menjalankan siasatan lanjut dan sudah pasti tindakan tatatertib akan diambil termasuk tahan kerja akan diambil.

"Setelah siasatan selesai nanti tindakan seterusnya akan dimaklumkan nanti," katanya ketika dihubungi hari ini.

Untuk rekod, Addy Kanna dan dua anggota polis terbabit kini ditahan mengikut POCA bagi membantu siasatan, sementara seorang lagi suspek diburu.

Baru-baru ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membongkar kegiatan 'cuci duit' oleh sindiket Macau Scam dan judi dalam talian berpangkalan di China dengan melaburkan wang hasil kegiatan haram itu dengan menawarkan bantuan, modal memulakan perniagaan termasuk dijalankan selebriti tempatan.

Rentetan siasatan ke atas seorang selebriti, SPRM menahan beberapa individu termasuk ahli perniagaan bergelar Datuk Seri dan Datuk untuk membantu siasatan pada 3 Oktober lalu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Azam Baki dilapor mendedahkan, pihaknya sudah menahan 20 individu termasuk lapan pegawai polis dan seorang warga China, selain akan membuat beberapa siri tangkapan lain.

Harian Metro sebelum ini turut melaporkan, tangkapan ke atas Addy Kanna dan Alvin yang melarikan diri dari Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, 11 Oktober lalu tidak terbabit dalam kegiatan penipuan atau Macau Scam di negara ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed dilaporkan berkata, sebaliknya kedua-dua mereka adalah koordinator atau ejen untuk menyediakan kemudahan kediaman, pusat panggilan dilengkapi peralatan komputer dan telekomunikasi serta kemudahan internet kepada warga China yang diupah oleh sindiket penipuan antarabangsa itu.

Disiarkan pada: October 23, 2020 @ 5:13pm
d