mutakhir

Kerajaan perlu jelas pelan tindakan tangani Covid-19 jika isytihar darurat

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Kerajaan bertanggungjawab menjelaskan kepada rakyat pelan tindakan kesihatan sekiranya terpaksa mengisytiharkan darurat ekoran kes wabak Covid-19 yang semakin membimbangkan di negara ini.

Pakar Perlembagaan Persekutuan Prof Madya Dr Shamrahayu Abd Aziz berkata, tindakan itu bagi memastikan rakyat tidak berada dalam keadaan tertanya-tanya dan gelisah.

"Kalau kerajaan nak isytihar darurat sudah tentu perlu dilihat apakah perancangan bagi menangani Covid, kalau dikatakan Covid itu penyebab (untuk isytihar darurat)...kalau dikatakan penyebaran Covid-19 itu sebagai satu alasan (untuk isytihar darurat) maka kita perlu meneliti apakah tindakan kerajaan.

"Kerajaan juga perlu bertanggungjawab untuk menjelaskan kepada rakyat apa pelan tindakan yang akan dilakukan oleh kerajaan bagi menangani isu ini," katanya ketika ditemubual Bernama TV di sini hari ini.

Mengulas mengenai persoalan kuasa Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mengisytiharkan darurat, Shamrahayu menjelaskan terdapat dua pandangan utama mengenai perkara itu.

Katanya, pandangan pertama membabitkan keputusan kes Teh Cheng Poh oleh Privy Council pada tahun 1979 yang menyatakan tindakan Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat adalah atas nasihat jemaah menteri.

Namun pada 1981, pindaan telah dibuat pada Perlembagaan Persekutuan dengan memasukkan Fasal 8 kepada Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan iaitu tindakan yang dibuat Yang di-Pertuan Agong berkaitan pengisytiharan darurat tidak boleh dipersoalkan di mahkamah, jelasnya.

"Kuasa Yang di-Pertuan Agong juga boleh mengisytiharkan pengakhiran darurat seperti menurut Perkara 150 Fasal 3 Perlembagaan Persekutuan menerusi satu resolusi yang dipersetujui oleh Parlimen.

"Contohnya seperti apa yang berlaku pada tahun 2011 apabila kerajaan pada ketika itu telah menarik balik proklamasi darurat juga undang-undang darurat, yang bermaksud ia perlu melalui Parlimen," katanya.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Abdulaziz, Kuantan selepas mempengerusikan mesyuarat khas Kabinet di Perdana Putra, Putrajaya dipercayai bagi membincangkan isu-isu semasa.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 23, 2020 @ 11:16pm
    d