mutakhir

'Dahulukan rakyat'- Annuar Musa

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Ugutan pelbagai pihak untuk menjatuhkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, menerusi sidang Parlimen bulan depan boleh memberikan implikasi kepada usaha kerajaan memerangi Covid-19.

Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa berkata, jika perkara itu berlaku, sudah pasti Parlimen akan dibubar seterusnya Pilihan Raya Umum (PRU) perlu diadakan.

Beliau berkata, rakyat kini semakin gusar dengan peningkatan jangkitan Covid-19 khususnya jika PRU dilaksanakan sebaik Parlimen dibubarkan.

"Kepada sahabat saya yang punya ilmu undang-undang, terutama dalam pakar Perlembagaan, bantu saya mencari jawapan perkara yang berkait dengan ketakutan rakyat terhadap penularan Covid-19.

"Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi wajib diadakan dalam tempoh 60 hari dari kekosongan, tapi rakyat minta PRK di tangguhkan dan pegawai takut ke zon merah.

"Tempoh Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak tamat beberapa bulan lagi dan PRN (Pilihan Raya Negeri) wajib diadakan, namun semua orang takut apa yang berlaku di Sabah selepas PRN menimpa Sarawak. Mereka minta PRN ditangguh dulu," katanya menerusi Facebook hari ini.

Beliau yang juga Setiausaha Agung UMNO berkata, undang-undang mana boleh dipakai untuk menangguhkan pilihan raya supaya Covid-19 terkawal dan tidak mengancam nyawa rakyat.

Katanya, ribuan rakyat di hospital manakala barisan hadapan dan anggota keselamatan terpaksa menjalani kuarantin.

"Bagaimana agaknya dalam tempoh dua tiga bulan ini kita mendahulukan perebutan kuasa politik demi demokrasi di saat rakyat sedang bertarung nyawa dengan ancaman Covid-19.

"Kuasa apa dan undang undang-undang mana boleh kita tangguh perebutan kuasa ini?, atau demi mendahulukan demokrasi dan takut di tuduh macam-macam oleh pembangkang, kita (kerajaan) biarkan saja berlaku pilihan raya di sana sini dan nyawa rakyat serah pada takdir," katanya.

Kenyataan ini berkemungkinan ada kaitan dengan desas desus pengumuman penting yang mungkin akan dibuat Muhyiddin berkaitan ancaman Covid-19 yang semakin meruncing di Malaysia.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 24, 2020 @ 2:14pm
    d