mutakhir

Kita 'orang muda' jaga kampung kita

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

Jempol: Sekumpulan pemuda generasi baharu Felda Lui Timur di sini, mengambil inisiatif sendiri mengadakan kawalan dan rondaan sekitar kampung bagi mencegah aktiviti jenayah.

Pengerusi Rondaan Sukarela Generasi Baharu Felda Lui Timur Mohd Fazlee Mohd Sadri berkata, kawalan dan rondaan berkenaan sudah dilaksanakan sejak seminggu lalu.

Katanya sehingga kini seramai 30 generasi baharu membabitkan anak dan cucu peneroka terbabit dalam kawalan dan rondaan sukarela ini tanpa mengikut masa tertentu.

" Jumlah ahli dipercayai akan meningkat berikutan ramai yang mahu menjadi petugas sukarela menjaga kampung, "katanya.

Mohd Fazlee berkata, semua petugas sukarela dibahagikan tugas secara berkumpulan walaupun mereka kekurangan peralatan seperti lampu suluh.

Katanya, selain rondaan sekeliling kampung, mereka turut mengadakan kawalan di jalan pintu masuk ke kampung.

"Kebanayakan peneroka asal sudah berusia dan tidak mampu melakukan tugas ini. Maka sebagai pewaris yang masih tinggal di tanah rancangan, kita perlu ambil berat mengenai kampung kami sendiri," katanya.

Mohd Fazlee berkata, pihaknya juga turut mendapatkan pandangan dan nasihat daripada pihak polis, pengurusan Felda, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan penduduk sebelum melaksanakan kawalan dan rondaan.

Justeru itu, pihaknya turut mengucapkan terima kasih kepada penduduk yang sudi menyediakan bekalan air kopi dan biskut kering kepada petugas.

Disiarkan pada: October 24, 2020 @ 4:21pm
d