mutakhir

Pandu lori macam 'hilang pedoman'

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

Sungai Besar: Sudahlah membawa kenderaan berat dalam keadaan berbahaya, malah turut bertindak memaki individu yang menasihatinya.

Itulah tindakan seorang pemandu lori tangki yang memandu secara berbahaya di Jalan Persekutuan Klang-Teluk Intan, dekat Sungai Haji Dorani, semalam.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, pihaknya memandang serius video tular berhubung kejadian itu.

Menurutnya, polis sudah mengenal pasti identiti pemandu lori tangki berkenaan selepas video kejadian itu tular di laman sosial Facebook (FB) Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos.

Agus Salim berkata, pihak polis mengesan pemandu lori itu melalui nombor pendaftaran kenderaan dipandu.

"Difahamkan syarikat lori itu beralamat di Shah Alam dan tindakan susulan akan diambil," katanya tadi.

Sebelum ini tular di laman sosial sejak semalam berhubung video dirakam Jamal yang mengekori pemandu lori tangki berkenaan.

Video itu menunjukkan tindakan pemandu lori tangki yang menukar lorong tanpa memberi lampu isyarat sekaligus membahayakan kereta yang mengekori di belakangnya.

Rakaman berdurasi 1 minit 43 saat turut menunjukkan pemandu lori memberhentikan kenderaannya sebelum mengeluarkan kata-kata tidak sopan kepada Jamal yang turut memberhentikan kenderaannya.

"Lori ini sedang bermasalah. Malangnya, pemandu tetap meneruskan perjalanan tanpa menghiraukan keselamatan pengguna jalan raya lain.

"Harap pihak berwajib mengambil tindakan tegas terhadap pemandu itu," kata Jamal.

Disiarkan pada: October 24, 2020 @ 4:31pm
d