mutakhir

Tak sedar kulit disambar api [METROTV]

Oleh Siti Rohana Idris

Kota Bharu: "Dalam usaha cuba memadamkan api yang sedang marak, saya tidak sedar kulit terkena api menyebabkan beberapa bahagian badan melecur," kata Hanafi Saamah, 67, mangsa kebakaran di Kampung Tanjung Stan, di sini, hari ini.

Warga emas itu hanya menyedari rumahnya terbakar selepas seorang saudara yang kebetulan melalui hadapan rumahnya kira-kira jam 3.30 petang.

"Saudara menjerit mengatakan ternampak asap tebal dari balkoni tingkat atas, dan saya yang ketika itu berada di belakang rumah sedang memberi biri-biri makan berkejar untuk melihat keadaan.

"Saudara saya segera mengambil cucu yang berusia dua tahun yang sedang leka menonton televisyen, manakala saya pula membawa dua baldi berisi air untuk cuba memadamkan api.

"Bagaimanapun, api semakin marak menyebabkan saya berundur dan mungkin ketika itulah api sempat menyambar kulit menyebabkan saya melecur di siku dan betis kiri serta bahu kanan," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Hanafi berkata orang ramai dan ahli keluarganya sempat menyelamatkan tiga kereta yang diparkir di halaman rumah dan menghubungi pihak berkuasa.

Namun, katanya, dia tidak sempat menyelamatkan tiga mesin jahit dan dua mesin kelim tepi milik isterinya, Che Esah Awang Lah, 59.

"Kami reda dengan kejadian ini kerana yang penting semua nyawa selamat termasuk dua cucu yang berada dalam rumah ketika kejadian," katanya.

Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Tumboh, Penolong Penguasa Bomba El Taraff Mohd Zachariah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.55 petang, dan seramai 30 anggota dan pegawai termasuk pasukan bomba sukarelawan dari BBP Pasir Tumboh dan Kota Bharu terbabit dalam operasi.

Katanya, kebakaran membabitkan sebuah rumah separuh kekal yang hangus 50 peratus.

"Selain laluan ke lokasi kejadian yang sempit, kami berdepan dengan halangan ketiadaan air menyebabkan kami terpaksa menggunakan semburan buih untuk proses pemadaman.

"Dalam operasi itu juga kami berjaya menyelamatkan tiga anak kucing yang terperangkap di sebalik mesin jahit selepas terdengar suara mengiau," katanya sambil memberitahu punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Disiarkan pada: October 24, 2020 @ 7:16pm
d