mutakhir

Buat kerja di rumah, bukan ke pusat beli-belah [METROTV]

Oleh Isma Ismail dan Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Majikan dipertanggungjawabkan memantau pekerjanya yang bekerja dari rumah sekiranya mereka tidak melaksanakan tugas itu sebaliknya melakukan aktiviti luar seperti ke pusat beli-belah dan sebagainya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, konsep duduk di rumah supaya dapat memutuskan Covid-19 dalam masyarakat dengan tidak memberi peluang dan ruang untuk dijangkiti.

Menurutnya, jadi kerajaan sudah mengenal pasti dan memberi peluang untuk bekerja dari rumah namun bukan bermakna mereka boleh berjalan atau ke pusat beli-belah dan sebagainya.

"Jadi majikan dipertanggungjawab untuk melihat kakitangannya yang bekerja dari rumah dan sebagai contoh jika diberi tugasan yang perlu disiapkan dalam tempoh lapan jam tetapi tidak disiapkan maka majikan boleh mengambil tindakan.

"Jika ada tugasan boleh laksanakan bukan duduk rumah bersahaja tanpa tugasan," katanya dalam sidang media Covid-19, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, beliau sendiri berpengalaman duduk di rumah selama 14 hari sebelum ini di mana pada awalnya dirasakan tidak akan ada banyak kerja.

"Bagaimanapun, untuk tempoh 14 hari tu, saya berasa seperti berkerja 14 jam sehari di mana dari pagi hingga 8 malam ada tugasan yang dibuat iaitu bermesyuarat, melihat data, sidang media di Facebook dan memuat naik perkembangan Covid-19 di media sosial sehingga tidak masa nak keluar rumah.

"Inilah yang kita ubah suai dan inovasikannya iaitu prinsipnya duduk di rumah bukan pergi ke pusat beli-belah," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 24, 2020 @ 8:00pm
    d