mutakhir

2 suspek pecah rumah ditahan

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Gombak: Dua lelaki yang disyaki terbabit dalam kegiatan pecah rumah ditahan bersama beberapa peralatan dan barangan dicuri kelmarin.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, mereka yang berusia 35 dan 43 tahun itu ditahan susulan laporan dibuat pemilik rumah di Taman Selayang Utama, Batu Caves pada 9 Oktober lalu.

Menurutnya, mangsa diberitahu jirannya bahawa pintu pagar rumahnya terbuka dan lampu dinyalakan sedangkan dia tiada di rumah ketika itu.

Katanya, mangsa bergegas pulang dan mendapati kunci mangga pintunya dipotong dan beberapa barangan bernilai RM4,300 hilang.

"Bertindak atas maklumat itu, pada 9.20 malam kelmarin, sepasukan pegawai dan anggota Balai Polis Selayang menahan sebuah kereta Perodua Alza warna merah dipandu seorang lelaki di Jalan Ambing 1, Kepong Baru.

"Pemeriksaan dalam kereta berkenaan ditemukan peralatan yang dipercayai digunakan untuk kegiatan pecah rumah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Arifai berkata, susulan daripada itu, polis memeriksa sebuah rumah di Selayang Baru pada 10 malam dan merampas sebahagian barangan kes dipercayai milik mangsa.

"Polis turut menahan seorang lagi lelaki pada 10.54 malam di sebuah pangsapuri di Jalan Midah, Taman Midah di Kuala Lumpur dan merampas sejumlah barang disyaki berkaitan dengan kes pecah rumah.

"Kedua suspek direman lima hari bermula semalam sehingga 27 Oktober ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.

Beliau berkata, barangan yang dirampas adalah lapan jam tangan pelbagai jenama, dua beg, dua komputer riba, satu tab dan sebuah televisyen.

"Siasatan sedang dijalankan termasuk pembabitan suspek dalam kes lain di daerah ini.

"Semakan juga mendapati suspek mempunyai lapan rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan jenayah," katanya.

Disiarkan pada: October 24, 2020 @ 8:30pm
d