mutakhir

'Superman' buat aksi zig zag ditahan

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Tindakan enam 'mat rempit' yang menunggang motosikal lagak samseng dan mempamerkan aksi berbahaya di Taman Perdana Bukit Rambai dan Taman Keris Emas Sungai Udang, Melaka menerima padah apabila ditahan polis, awal pagi tadi.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata, sepasukan anggota dan pegawai dari Unit Risikan dan Operasi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman melakukan pemantauan di kawasan berkenaan sebelum melihat aksi sekumpulan remaja itu pada 2.25 pagi.

"Mereka dilihat menunggang motosikal dengan melakukan aksi berbahaya termasuk menundukkan badan, zig-zag dan 'superman' di kawasan berkenaan.

"Malah kumpulan remaja itu menjadikan persimpangan lampu isyarat di dua kawasan berkenaan untuk mereka berkumpul sehingga membahayakan pengguna jalan raya lain," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Nadzri berkata, tiga suspek dilihat memberhentikan motosikal di deretan kedai di Tangga Batu sebelum ditahan.

"Tangkapan seterusnya membabitkan tiga lagi lelaki dilakukan di hadapan sebuah rumah di Taman Desa Taming Sari.

"Semua suspek berusia antara 15 hingga 22 tahun bersama motosikal dibawa ke Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah untuk tindakan lanjut," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana menunggang motosikal secara melulu.

Disiarkan pada: October 25, 2020 @ 1:37pm
d