mutakhir

Mesyuarat khas Raja-raja Melayu dijangka mula 2.30 petang [METROTV]

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Raja-raja Melayu mula tiba di Istana Negara di sini, dijangka bagi menghadiri mesyuarat khas hari ini.

Kenderaan rasmi dari Istana Johor antara terawal dilihat memasuki pintu utama Istana Negara pada 1.30 tengah hari dipercayai membawa Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah tiba di Istana Negara, dari Kuantan, Pahang pada jam 12.30 tengah hari.

Mesyuarat yang dipercayai bagi membincangkan mengenai beberapa cadangan termasuk kemungkinan 'darurat kesihatan' untuk menangani peningkatan penularan Covid-19, dijangka bermula pada 2.30 petang.

Menerusi kenyataan Istana Negara semalam, Al-Sultan Abdullah berkenan untuk mengadakan rundingan dengan Raja-Raja Melayu di Istana Negara untuk berbincang dan memperhalusi cadangan yang dikemukakan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Al-Sultan Abdullah berkenan menerima menghadap Muhyiddin di Istana Abdul Aziz, Kuantan selama satu jam setengah, kelmarin, dan dipersembahkan taklimat cadangan yang dicapai oleh Mesyuarat Khas Jemaah Menteri untuk pertimbangan dan ampun perkenan Baginda.

Al-Sultan Abdullah amat memahami keperluan kelangsungan pentadbiran negara untuk memerangi ancaman wabak Covid-19, malah Baginda turut prihatin terhadap kegelisahan dan kegusaran rakyat ekoran daripada perkembangan terkini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 25, 2020 @ 2:11pm
    d