mutakhir

APMM komited jaga perairan negara

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sentiasa melipat gandakan usaha dengan keupayaan aset dan keanggotaan sedia ada menggalas tanggungjawab memastikan ancaman semasa tidak mengganggu gugat keselamatan dan keamanan perairan negara.

Ketua Pengarahnya, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, mengawal sempadan perairan sepanjang 8,840 kilometer dengan keseluruhan Zon Maritim Malaysia seluas 614,000 kilometer persegi adalah tugas yang sangat mencabar.

Menurutnya, menyedari akan potensi ancaman keselamatan, ekonomi dan politik terhadap rakyat dan kerajaan, beberapa inisiatif dilaksanakan APMM sepanjang tempoh ini, khususnya dalam negara menghadapi ancaman penularan pandemik Covid-19.

"Pemerkasaan operasi memerangi jenayah maritim seperti rompakan di Selat Melaka adalah antara 'benchmark' kejayaan APMM dengan merekodkan statistik sifar kes tiga tahun berturut-turut bermula 2017 hingga 2019 dan berterusan kes sifar sehingga Oktober 2020.

"Menerajui Op Naga Barat yang dilancarkan pada April 2019 bersama agensi lain dalam membanteras pencerobohan nelayan asing di Laut China Selatan juga adalah indikator kejayaan dan peranan penting dimainkan APMM dengan rekod tangkapan tertinggi iaitu 129 bot nelayan asing serta 1,290 tahanan kru asing.

"Pada awal tahun ini pula, Op Naga Timur meliputi perairan Sabah dan Sarawak diaktifkan dan sehingga hari ini sebanyak 102 bot nelayan asing dan 886 nelayan asing ditahan kerana menceroboh dan mencuri hasil perikanan Malaysia," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mohd Zubil berkata, dari sudut pemeriksaan pula, aset-aset APMM yang terbabit dalam Op Naga Barat dan Op Naga Timur melakukan 11,501 pemeriksaan ke atas vesel bagi memastikan perairan negara selamat, bebas daripada jenayah dan ancaman.

"Isu kemasukan pendatang asing tanpa izin (Pati) khususnya etnik Rohingya juga berjaya dipatahkan melalui pelancaran Op Dalal dalam memburu aktiviti sindiket di darat dan membabitkan beberapa siri tangkapan ke atas dalang, tekong darat serta ejen sepanjang April hingga Julai lalu.

"Operasi Dalal juga membongkar modus operandi sindiket ini serta hampir melumpuhkan usaha kemasukan Pati secara haram melalui perairan, khususnya di utara Semenanjung," katanya.

Beliau berkata, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan bagi menangani, mengekang dan memutuskan penularan pandemik Covid-19, diambil kesempatan oleh nelayan asing Vietnam dengan menceroboh perairan dan merompak hasil laut negara.

"Dalam tempoh bermula 18 Mac hingga 23 Jun lalu, sebanyak 157 pengusiran berjaya dilakukan membabitkan 83 bot nelayan Vietnam dan 74 bot nelayan Indonesia yang menceroboh perairan negara.

"Pada 24 Jun lalu, APMM melancarkan Op Kuda Laut khusus bagi menangkap serta memerangi pencerobohan dan kebanjiran bot nelayan asing khasnya Vietnam di Laut China Selatan.

"Sehingga 23 Oktober lalu, Op Kuda Laut merekodkan 71 kes tangkapan membabitkan 66 bot nelayan Vietnam serta lima kapal induk dan 719 kru Vietnam.

Katanya, APMM memberikan komitmen yang tinggi dengan menempatkan aset maritim secara berjadual dan berterusan dalam operasi pemantauan kehadiran vesel penguat kuasa asing khususnya China Coast Guard di Beting Patinggi Ali.

Disiarkan pada: October 25, 2020 @ 6:07pm
d