mutakhir

'Pagi tadi, dia bersalam dengan saya'

Oleh Zaid Salim

Kuala Terengganu: "Pagi tadi ketika mengemas rumah, dia bersalam dengan saya dan tidak sangka ia adalah tanda perkara tidak baik berlaku kepadanya," kata Nurul Emilia Ali, 34.

Nurul Emilia adalah ibu kepada Muhammad Aryan Difa Danish Mohd Azizul, 6, yang maut selepas terjatuh dari rumahnya di tingkat 15, Flat Ladang Gemilang Satu di sini.

Menurutnya, dia tidak menyangka perbuatan anaknya (bersalam) yang dianggap sebagai suka-suka itu adalah salaman terakhir apabila anak ketiga daripada empat beradik itu pergi meninggalkan keluarga buat selama-lamanya.

"Memang sedih dengan pemergiannya yang secara tiba-tiba, namun kami reda dan menerima qada dan qadar yang sudah ditetapkan Allah walaupun perit untuk menerimanya," katanya ketika ditemui di pekarangan rumah mayat Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, hari ini.

Menurutnya, dia bersama anak bongsunya ke kedai di kawasan sekitar flat itu untuk membeli makanan.

Nurul Emilia berkata, kebiasaannya dia akan membawa kanak-kanak terbabit bersama ke kedai membeli makanan tetapi disebabkan ketika itu kanak-kanak itu sedang tidur menyebabkan meninggalkannya sendirian.

Katanya, dua abangnya sudah keluar bermain dan suaminya, Mohd Azizul Mohamad, 35, pula yang bekerja sebagai jurujual berada di Dungun.

"Sebelum keluar saya memasang cerita kartun tetapi tidak menyangka apabila terjaga dia menanggalkan sekeping tingkap cermin nako di ruang tamu dan letak di atas sofa.

"Saya tidak tahu apa tujuannya tetapi kemungkinan dia mahu menjenguk untuk melihat ke bawah.

"Saya berasa agak pelik kerana sebelum ini dia tidak pernah berbuat demikian," katanya.

Dalam kejadian pada 4 petang tadi, mangsa yang juga murid prasekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Ladang di sini, ditemukan maut dipercayai terjatuh dari tingkat 15 flat berkenaan.

Berita berkaitan

Kanak-kanak maut jatuh tingkat 15

Disiarkan pada: October 25, 2020 @ 10:16pm
d