mutakhir

Jemaah Menteri akan bincang titah Agong [METROTV]

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Jemaah Menteri akan berbincang lebih lanjut titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustaffa Billah Shah mengenai tiada keperluan buat masa ini mengisytiharkan darurat.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Kabinet mengambil maklum kenyataan Istana Negara mengenai pendapat Al-Sultan Abdullah bahawa tiada keperluan buat masa ini untuk mengisytiharkan darurat di negara ini atau mana-mana bahagian di Malaysia.

Menurutnya, Kabinet akan berbincang lebih lanjut akan titah Yang di-Pertuan Agong itu.

"Keutamaan Jemaah Menteri dan kerajaan adalah untuk melindungi rakyat dari wabak Covid-19.

"Saya menjunjung kasih di atas kepercayaan baginda kepada kerajaan pimpinan saya dan menyambut baik supaya kestabilan kerajaan tidak diganggu gugat," katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Sementara itu, kediaman Perdana Menteri di Bukit Damansara di sini, menjadi tumpuan beberapa pengunjung malam ini termasuk dipercayai Menteri dan pemimpin politik.

Muhyiddin Yassin juga dijadual mempengerusi mesyuarat khas Jemaah Menteri, pagi esok.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 25, 2020 @ 11:51pm
    d