mutakhir

Geng Hassan Babu tumpas [METROTV]

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Sungai Buloh: Geng Hassan Babu yang aktif melakukan pecah sekolah ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) tumpas selepas ditahan polis, pada 2 Oktober lalu.

Kumpulan dianggotai tujuh lelaki berusia antara 22 hingga 39 tahun itu turut memecah masuk pejabat dan rumah di sekitar daerah ini.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa'aton Abu Bakar berkata, satu pasukan khas ditubuhkan bagi menjalankan siasatan susulan laporan kes pecah Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Pristana, Saujana Utama, di sini, pada 29 September lalu, yang menyebabkan kerugian RM31,000.

"Bertindak atas siasatan, polis melancarkan Op Pintu dan menyerbu empat lokasi berasingan di Saujana Utama, Sungai Pelong, Kampung Kubu Gajah dan Kampung Damai, Sungai Buloh pada 12.30 tengah malam, 2 Oktober lalu.

"Seramai tujuh lelaki ditahan dan kami turut merampas pelbagai barangan disyaki curi termasuk komputer riba, komputer, televisyen, alat permainan komputer, tablet, projektor, telefon bimbit, kamera dan jam tangan dianggarkan bernilai RM25,000 serta pelbagai alat pecah rumah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh di sini, hari ini.

Shafa'aton berkata, hasil soal siasat mendapati suspek aktif melakukan jenayah itu sejak pertengahan tahun ini dengan mensasarkan sekolah, pejabat dan rumah sebelum barangan curi itu dijual kepada pihak ketiga.

Beliau berkata, semakan mendapati semua suspek mempunyai rekod lampau membabitkan kes jenayah dan dadah.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3(1) Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA).

Disiarkan pada: October 26, 2020 @ 12:00pm
d