mutakhir

Penjara lapan tahun, dua sebatan akibat pecah amanah [METROTV]

Oleh Omar Ahmad

Johor Bahru: Seorang Pengerusi Koperasi dijatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan pecah amanah berjumlah RM300,000, pada September lalu.

Tertuduh, Alan Lim Boon Siong, 41, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Aizatul Akmal Maharani.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang memegang jawatan sebagai Pengerusi Koperasi Peladang Jaya Pekan Nanas menyalahgunakan kedudukan dan melakukan pecah amanah jenayah dengan curang memindahkan dana milik koperasi ke dalam akaun peribadi miliknya.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memindahkan dana milik koperasi berjumlah RM100,000 ke akaun peribadi miliknya di sebuah bank di Pekan Nanas pada 1 September lalu.

Manakala bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa membuat pemindahan dana milik koperasi berjumlah RM200,000 ke dalam akaun peribadi miliknya pada 7 September lalu di lokasi sama.

Dalam rayuan, tertuduh yang sudah memegang jawatan pengerusi koperasi selama lima tahun merayu dikurangkan hukuman penjara kerana menanggung isteri serta ibu dan bapa sudah tua.

Namun, pihak pendakwaan meminta mahkamah mempertimbangkan hukuman lebih berat kepada tertuduh kerana tindakannya yang bersikap tidak jujur, malah tertuduh dalam permohonan kepada pihak bank untuk memindahkan dana bernilai 300,000, tetapi tidak sempat berbuat demikian apabila ditahan polis pada 24 September lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan dengan sebat serta boleh dikenakan denda.

Hakim menjatuhkan hukuman penjara empat tahun bermula hari ini dan satu sebatan bagi pertuduhan pertama, manakala empat tahun penjara serta satu sebatan bagi pertuduhan kedua yang dijalankan secara berasingan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Chai Ing Hien manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Disiarkan pada: October 26, 2020 @ 1:08pm
d