mutakhir

Tukang kasut ditemui maut terbakar

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Ampang: Seorang tukang kasut ditemui mati dengan kesan terbakar di bahagian badan dalam kejadian di taman permainan Taman Bukit Teratai di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Esha berkata, polis menerima maklumat mengenai penemuan seorang lelaki dalam keadaan tidak sedarkan diri dan kesan terbakar pada 7.22 pagi.

Menurutnya, sepasukan polis segera ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan lanjut dan pemeriksaan mendapati lelaki itu berusia 70 tahun dan bekerja sebagai tukang kasut serta tinggal berdekatan tempat kejadian.

"Dia melecur pada bahagian hadapan badan dari dada sehingga paha.

"Siasatan lanjut mendapati lelaki itu seorang diri di tempat kejadian dan dipercayai membunuh diri dengan menggunakan bahan bakar serta pemetik api," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Farouk berkata, siasatan polis di lokasi tidak menemui sebarang unsur jenayah.

Beliau berkata, mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sehingga laporan bedah siasat diperoleh.

Disiarkan pada: October 26, 2020 @ 1:15pm
d