mutakhir

Penjara Sungai Petani disanitasi

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Sungai Petani: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah melakukan sanitasi awam di seluruh kawasan Penjara Sungai Petani, di sini hari ini.

Sanitasi awam itu dilakukan berikutan penularan Covid-19 membabitkan Kluster Tembok.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, JBPM Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, sanitasi awam dilakukan selama dua jam bermula 9.30 pagi membabitkan 22 anggota bomba dan 10 kakitangan penjara.

Menurutnya, kawasan yang disanitasi termasuk di blok pentadbiran (pejabat rekod dan pejabat pengarah) serta pintu utama.

"Selain itu, kawasan Zon 1 membabitkan Blok Akasia, Blok Begonia, Blok Casuarina, lima bengkel dan pejabat Zon 1.

"Kawasan Zon 2 pula meliputi blok Wad LRCC, Blok Davalia, Blok Episia, surau, dapur dan blok klinik serta pejabat Vi selain kawasan berhampiran," katanya dalam kenyataan.

Mohamadul Ehsan berkata, kawasan yang disanitasi membabitkan seluas 315.8 meter persegi dengan menggunakan sebanyak 14 liter cecair sodium hypoclorite.

Katanya, pegawai pemantau membabitkan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim Hi Tech dan Sungai Petani serta Inspektor Penjara.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 26, 2020 @ 1:37pm
    d