mutakhir

Sembilan pemandu mabuk didakwa [METROTV]

Oleh Omar Ahmad

Johor Bahru: Sembilan individu antara yang terawal didakwa atas kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol mengikut pindaan baharu Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (pindaan) 2020 yang berkuat kuasa Jumaat lalu.

Tertuduh berusia antara 25 hingga 56 tahun itu didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini.

Mereka didakwa melakukan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol melebihi had ditetapkan iaitu 50mg dalam 100 mililiter darah pada 23 Oktober hingga 25 Oktober di sekitar Johor Bahru.

Lapan daripada mereka mengaku bersalah manakala seorang lagi mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Asidah A Rahman.

Bagi lapan individu termasuk seorang wanita yang mengaku bersalah, Nur Asidah menjatuhkan hukuman penjara tujuh hari dari tarikh sabitan kes, denda RM10,000 serta hilang kelayakan lesen memandu selama dua tahun.

Jika gagal membayar denda, mereka akan dipenjara selama 10 bulan.

Manakala mahkamah mengenakan jaminan RM13,000 terhadap seorang lelaki yang mengaku tidak bersalah dan menetapkan 26 November depan untuk sebutan kes.

Pegawai Pendakwaan Trafik, Asisten Superintendan Azmi Abdul Salam meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pengajaran manakala semua tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman denda minimum atas alasan mereka menanggung keluarga serta susah insaf.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 pindaan 2020 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM30,000, dipenjarakan sehingga dua tahun serta hilang kelayakan lesen selama dua tahun.

Disiarkan pada: October 26, 2020 @ 1:42pm
d