mutakhir

Undang-undang sedia ada cukup tangani Covid-19

Oleh Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Penolakan pengisytiharan darurat oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berikutan undang-undang sedia ada sudah cukup menangani isu Covid-19 dan kemelut politik.

Pakar Perlembagaan, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, kuasa darurat itu lebih besar berbanding undang-undang sekarang dan Baginda melihat sekiranya pengisytiharan darurat dibuat maka kuasa undang-undang akan jatuh ke pihak eksekutif iaitu Perdana Menteri dan Kabinet.

"Sekiranya negara dalam keadaan terganggu gugat membabitkan soal ekonomi, keselamatan dan juga keamanan maka Yang di-Pertuan Agong (YDPA) boleh mengisytiharkan darurat.

"Tetapi apabila Perdana Menteri dan kabinet memohon darurat baginda tolak atas alasan keadaan belum capai ke tahap sesuai pengisytiharan darurat kerana apa yang dilakukan kerajaan sekarang ini mencukupi untuk menangani Covid-19," katanya kepada Harian Metro.

Nik Ahmad Kamal berkata, Baginda mungkin mendapatkan pandangan pihak ketiga dan bukan semata-mata mendengar pandangan Perdana Menteri.

"Menurut Perkara 150 (2B) Perlembagaan Persekutuan menyebut Baginda akan mengisytiharkan darurat sekiranya berpuas hati dan tidak disebut Baginda mesti mendengar nasihat Perdana Menteri serta kabinet," katanya.

Ditanya apa yang perlu dilakukan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebaik penolakan darurat itu, Dr Nik Ahmad Kamal berpendapat pemimpin negara itu perlu menjalankan tugas seperti biasa dan fokus untuk membentangkan Bajet 2021, bulan hadapan.

"Muhyiddin juga perlu cuba menenangkan keadaan, jika kita lihat tujuan darurat itu bukan saja mahu menangani Covid-19 tetapi mencari jalan penyelesaian kemelut politik yang berlaku," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 26, 2020 @ 2:21pm
    d