mutakhir

PPM rampas rokok seludup RM2.94 juta [METROTV]

Oleh Syaherah Mustafa

Pasir Puteh: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga merampas 19,600 karton rokok berjumlah RM2.94 juta dalam serbuan di Hutan Bakau Sungai Bukit Kluang, Besut, Terengganu, hari ini.

Komander PPM Wilayah Tiga, Asisten Komisioner Norzaid Muhammad Said, berkata serbuan pada 5 pagi membabitkan lebih 3.9 juta batang rokok itu adalah rampasan rokok terbesar pasukan terbabit pada tahun ini.

Katanya, anggota menyerbu lokasi berkenaan selepas melihat sekumpulan lelaki sedang memunggah barangan ke dalam dua lori selepas melakukan intipan.

"Kumpulan lelaki terbabit melarikan diri dengan meninggalkan lori dan barangan sebaik anggota menghampiri serta memperkenalkan diri.

"Pemerikasaan lanjut di lokasi kejadian mendapati terdapat pelbagai jenama rokok yang diisi di dalam kotak dan dibungkus plastik hitam dipercayai untuk pasaran luar Kelantan.

"Mereka menggunakan modus operandi melakukan kegiatan haram ketika air pasang dan dibawa ke kawasan terpencil untuk mengaburi pihak berkuasa," katanya di sidang media di Markas Taktikal Pasukan Polis Marin, Wilayah Tiga, Tok Bali, di sini, hari ini.

Norzaid berkata, kegiatan terbabit juga dilakukan pada awal pagi sekitar 1 pagi hingga 3 pagi di mana kesemua rokok ini dipercayai diseludup dari negara jiran, Thailand.

"Kesemua rokok bersama lori dirampas dan kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967," katanya.

Katanya, PPM Wilayah Tiga sentiasa mempertingkatkan kawalan keselamatan di perairan serta persisiran pantai bagi membendung aktiviti penyeludupan serta menjaga keselamatan negara.

Disiarkan pada: October 26, 2020 @ 2:47pm
d