mutakhir

Pelajar ditahan merempit

Oleh Nur Izzati Mohamad

Butterworth: Cuti hujung minggu sepatutnya dimanfaatkan dengan aktiviti berfaedah, namun lain pula bagi dua pelajar, dekat sini, apabila mereka ditahan kerana berlumba haram di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB) di Bagan Ajam, di sini, malam tadi.

Remaja berusia 16 dan 17 tahun itu ditahan selepas berlumba dengan dua lagi rakan mereka yang juga pekerja kilang berusia 18 dan 20 tahun.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, polis hampir setiap minggu mengadakan Op Samseng Jalanan dekat situ dalam membanteras kegiatan lumba haram yang didapati makin berleluasa walaupun tindakan kerap diambil.

"Dalam operasi jam 12 tengah malam itu, sekumpulan remaja lelaki terdiri dua pelajar sekolah ditahan selepas didapati menunggang secara melulu dan merbahaya di sekitar lebuh raya itu.

"Keempat-empat mereka berlumba sesama sendiri dari Plaza Tol Bagan Ajam sehingga ke pusingan U Terminal Kontena Butterworth Utara sambil melakukan aksi merbahaya.

"Mereka ditahan ketika berhenti di bahu jalan arah Sungai Dua di lebuh raya itu," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Noorzainy berkata, keempat-empat lelaki itu ditahan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: October 26, 2020 @ 4:23pm
d