mutakhir

'Scammer' dapat 40 peratus daripada keuntungan setahun [METROTV]

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Satu sindiket pusat panggilan yang menjalankan kegiatan penipuan pelaburan saham secara dalam talian di China diperuntukkan dana 40 peratus daripada jumlah keseluruhan keuntungan setiap tahun untuk perbelanjaan mereka.

Peruntukan dana itu menyebabkan ketua sindiket terbabit mampu membayar sewa hotel dan unit kondominium mewah berharga di antara RM9,000 hingga RM13,000 sebulan selain menyediakan keperluan asas lain kepada ahli sindiket.

Bagaimanapun, kegiatan itu terbongkar selepas serbuan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman di sekitar Lembah Klang yang membawa kepada penahanan 12 individu warga China termasuk dua wanita pada 23 Oktober lalu.

Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, pihaknya menahan 10 lelaki dan dua wanita warga China berusia antara 23 hingga 27 tahun yang disyaki terbabit dalam kegiatan penipuan pelaburan saham dalam talian.

"Semakan mendapati semua suspek mempunyai pas lawatan sosial, namun dokumen bagi sembilan daripada mereka didapati sudah tamat tempoh.

"Kami turut merampas tujuh komputer riba, 125 telefon bimbit, satu i-Pad, empat beg, dua jam tangan, dua cincin, satu gelang, satu rantai leher, wang tunai RM27,222 serta sejumlah wang tunai pelbagai mata wang asing," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zainuddin berkata, hasil siasatan mendapati sindiket itu beroperasi sejak September 2019 dan kerap berpindah randah dengan menjadikan unit kondominium serta hotel mewah di sekitar Lembah Klang sebagai pusat kegiatan berkenaan.

Beliau berkata, antara aktiviti dilakukan sindiket itu adalah mempromosi dan mempengaruhi pelabur mengenai saham berpotensi untung melalui transkrip dibuat ketua sindiket.

"Sebenarnya, mereka (pekerja) tidak mengetahui selok belok pasaran saham, namun diajar untuk mewujudkan kumpulan sembang melalui aplikasi WeChat yang membolehkan mereka menunjukkan keadaan pasaran saham semasa.

"Sasaran sindiket itu terdiri daripada individu warga China berdasarkan urus niaga mereka yang dijalankan secara dalam talian melalui aplikasi WeChat Pay atau Alipay.

"Ahli sindiket ini dilatih untuk mempengaruhi pelabur dan meyakinkan mereka untuk membuat pelaburan berskala besar dengan 40 peratus daripada keuntungan saham pelabur berkenaan dimasukkan ke dalam akaun dana hujung tahun bagi keperluan pusat panggilan di sini," katanya.

Beliau berkata, dana itu menyebabkan ketua sindiket mampu membayar gaji pekerja tinggi iaitu antara RM2,500-RM4,000 sebulan serta mampu membayar sewa hotel dan unit kondominium mewah antara RM9,000 hingga RM13,000 sebulan selain mampu menyediakan keperluan asas lain kepada ahli sindiket.

Menurutnya, setakat ini, tiada laporan mengaitkan sindiket itu dalam kalangan individu warga tempatan.

"Kami percaya segala urusan berkaitan sindiket ini di bawah kawalan seorang lelaki tempatan yang masih dikesan polis.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Seksyen 6 (1) Akta Imigresen 1959/1963 dan Seksyen 15 (1) akta sama selain Peraturan 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," katanya.

Disiarkan pada: October 26, 2020 @ 4:33pm
d