mutakhir

Infaq Covid-19 bantu asnaf

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Shah Alam: Mendengar sendiri luahan asnaf yang kesempitan wang, hilang pekerjaan serta punca pendapatan mendorong jawatankuasa Masjid Al Ehsan Seksyen 24 Shah Alam tampil dengan inisiatif Infaq Covid-19.

Dengan sumbangan daripada pelbagai pihak termasuk syarikat korporat serta orang perseorangan, sejumlah dana dikumpulkan untuk memberi sumbangan berbentuk keperluan harian bagi mengatasi keperluan mendesak.

Amil Kariah Zakat, Norsiha Mahmud, 52, berkata inisiatif berkenaan dimulakan dengan Rak Rezeki beberapa tahun lalu bagi memberi bantuan segera kepada asnaf di sekitar kawasan itu.

Katanya, ketika penularan Covid-19 melanda Mac lalu, kawasan sekitar Seksyen 24 juga turut terkesan dengan ada anak kariah yang hilang punca pendapatan akibat diberhentikan kerja.

"Ketika itu jawatankuasa masjid memutuskan untuk memberi bantuan menerusi sumbangan orang ramai.

"Satu rak rezeki disediakan di masjid untuk kemudahan asnaf mendapat bantuan. Bila datang wabak, kita aktifkan pula Infaq Covid yang mendapat sumbangan daripada pelbagai pihak," katanya kepada Harian Metro.

Norsiha berkata, setakat ini lebih 400 orang asnaf sudah dibantu menerusi inisiatif berkenaan dan mereka diberikan pek barangan keperluan bernilai RM50 setiap satu.

Katanya, senarai penerima terdiri penerima zakat berdaftar selain mereka yang dikenal pasti mempunyai masalah kewangan serta kesempitan hidup.

Bagi Nazir Masjid Al Ehsan Ahmad Dahlan Kardi berkata, pihaknya berharap ia dapat membantu golongan memerlukan terutamanya mereka yang terkesan dengan Covid-19 ini.

"Dalam masa dua hari, kita dapat kumpulkan RM5,000. Jadi ramai yang kita boleh bantu.

"Saya dimaklumkan, jumlah penerima meningkat sekali ganda ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), ramai yang kehilangan kerja dan ada peniaga juga tidak boleh buka kedai dan sebagainya," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Mohd Shahzihan Ahmad berkata, ia satu usaha yang bagus dan menunjukkan peranan masjid sebagai pusat keprihatinan setempat.

Katanya, banyak inisiatif diambil pengurusan masjid membantu mereka yang terkesan dengan Covid-19 sejak Mac lalu.

"Ia termasuklah inisiatif masjid dan surau membuka peluang melakukan infaq secara online termasuk melalui imbasan QR code.

"Ini berikutan jumlah infaq semasa solat Jumaat yang sangat berkurangan akibat kehadiran dihadkan dengan penjarakan sosial," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 26, 2020 @ 5:10pm
    d