mutakhir

Penoreh jumpa peluru mortar lama

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

Padang Besar: Penoreh getah menemui sebutir peluru mortar lama dipercayai peninggalan Perang Dunia Kedua ketika sedang membersihkan kawasan kebunnya di Felda Mata Ayer, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Saifudin Aslin Abbas berkata, dalam kejadian 6.30 petang, lelaki berusia 36 tahun itu melaporkan penemuannya kepada anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 1 yang sedang bertugas di Pos Kawalan TS 10.

Menurutnya, peluru berkenaan dimusnahkan oleh Unit Pemusnah Bom, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis pada 12.45 tengah hari tadi

"Hasil pemeriksaan mendapati lelaki terbabit menemuinya dalam keadaan terbuka di atas tanah serta berlumpur.

"Malah, ia masih aktif apabila pihak polis memeriksanya dari semalam dan tindakan menutup kawasan dalam radius bersesuaian turut diambil," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, polis membuka kertas siasatan terhadap penemuan peluru mortar lama berkenaan.

"Saya berharap orang ramai lebih berhati-hati ketika melakukan kerja di dalam kawasan hutan," katanya.

Disiarkan pada: October 26, 2020 @ 5:20pm
d