mutakhir

'Tak manipulasi data Covid-19' - Dr Noor Hisham [METROTV]

Oleh Suraya Roslan dan Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menafikan terdapat manipulasi data kes Covid-19 yang dilaporkan di negara ini seperti dakwaan sesetengah pihak.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, data yang diperoleh pihaknya dikumpul pada 12 tengah hari setiap hari menggunakan sistem informasi dan maklumat kesihatan dari setiap negeri.

"Daripada maklumat itu, kami akan melakukan perbincangan bukan sahaja membabitkan saya tetapi juga pasukan di sebalik tabir.

"Kami akan meneliti jumlah kes serta kluster untuk direkodkan setiap hari.

"Justeru, maklumat yang disampaikan bukan manipulasi sebaliknya ia adalah fakta yang diguna pakai sejak hari pertama (kes Covid-19 dilaporkan di negara ini).

"Tidak timbul isu bila angka kosong atau satu digit baru informasi diterima dan bila angka lebih 1,000 kita tidak terima.

"Hari ini, kita umumkan kes direkodkan iaitu 1,240 kes adalah jumlah kes tertinggi pernah direkodkan," katanya ketika sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, pihaknya menjangkakan unjuran akan menunjukkan peningkatan kes kepada lebih 1,000 kes direkodkan setiap hari dalam masa terdekat.

"Selepas 31 Oktober, kita menjangkakan jumlah kes harian akan meningkat kepada empat digit melainkan kita dapat menurunkan nilai kebolehjangkitan (Rt) atau R-naught (R0) kurang daripada 1.

"Kita perlu melihat kepada unjuran bagi tempoh empat minggu sama ada ia turun daripada empat digit kepada tiga digit sehingga dua atau satu digit kes direkodkan setiap hari.

"Kita masih berada dalam fasa peperangan yang masih lagi sengit untuk mengawal serta membendung jangkitan di negara ini terutama di Sabah," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 26, 2020 @ 7:35pm
    d