mutakhir

Pati ditahan cuba rasuah

Oleh Zaid Salim

Kemaman: Seorang lelaki warga Bangladesh ditahan kerana cuba memberi suapan RM1,000 untuk melepaskan diri dalam operasi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di tapak binaan sebuah hospital dekat Kijal, di sini, hari ini.

Dalam operasi pada 11.45 pagi itu, pendatang asing tanpa izin (Pati) berusia 47 tahun antara 38 Pati termasuk tiga wanita yang ditahan dalam Ops Sapu/Kutip.

Pemeriksaan diketuai Pengarah Imigresen Terengganu, Ungku Joha Ungku Mohamad bersama 21 pegawai bermula 9 pagi selepas menerima maklumat awam.

Ungku Joha berkata, pihaknya memeriksa 83 pekerja warga asing dan tempatan di dua tapak pembinaan iaitu di Kijal dan Bukit Kuang.

"Serbuan di dua lokasi itu, kita berjaya menahan seramai 38 Pati termasuk tiga wanita berusia 22 hingga 50 tahun membabitkan warga Bangladesh (31), Indonesia (empat), India (dua) dan seorang warga Pakistan.

"Siasatan akan dibuat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen (15)(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963," katanya.

Ungku Joha berkata, kes membabitkan cubaan rasuah oleh lelaki Bangladesh itu akan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas selesai tindakan JIM.

"Lelaki terbabit tidak memiliki sebarang dokumen dikatakan cuba melepaskan diri dengan memberi suapan sebanyak RM1,170 kepada pegawai Imigresen," katanya.

Katanya, semua Pati terbabit kemudian dibawa ke Klinik Kesihatan Air Puteh, Chukai bagi menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum dihantar ke Depot Imigresen Ajil, Kuala Berang.

Disiarkan pada: October 26, 2020 @ 8:20pm
d