mutakhir

Lembu 'jajah' kawasan Bandar Springhill

Oleh Mohd Khidir Zakaria

Port Dickson: "Sudah banyak kali aduan dibuat, lembu tetap berkeliaran di kawasan perumahan dan mencacatkan keadaan sekitar taman," kata penduduk, Adzli Ahmad, 38, yang menunjukkan kawasan yang dipenuhi sekawan lembu di Bandar Springhill di sini, tadi.

Katanya, dia kecewa kerana pemilik lembu melepaskan binatang ternakan itu dengan bebas tanpa memikirkan risiko kepada penduduk.

"Selain persekitaran yang kotor dengan tahi lembu bersepah di jalan raya, kawasan taman permainan kanak-kanak juga habis kotor dan menimbulkan keadaan kurang selesa kepada penduduk sekitar.

"Bagi saya sesuatu perlu dilakukan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seperti mengenakan denda atau kompaun yang tinggi agar pemilik lembu ini sedar kesalahannya itu menyusahkan orang lain," katanya.

Salah seorang lagi penduduk, Amran Omar, 45, berkata, kerap membabitkan kemalangan membabitkan lembu di kawasan ini sejak beberapa tahun lalu.

"Saya sendiri pernah hampir melanggar lembu yang tiba-tiba berlari ke tengah jalan ketika menunggang motosikal waktu pagi untuk ke tempat kerja.

"Rakan setaman saya cedera parah ketika dalam perjalanan ke masjid bagi menunaikan solat Subuh. Hampir sebulan dia menerima rawatan di Hospital Tuanku Jaafar Seremban.

"Apabila berlaku kemalangan seperti ini, pemilik lembu tidak mengaku binatang ternakan itu miliknya dan diharapkan pemilik binatang ternakan ini perlu diberi denda yang tinggi," kata pekerja di syarikat swasta ini.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), Mohd Zamri Mohd Esa berkata, pihaknya sentiasa membuat operasi tangkapan lembu dari masa ke semasa.

"Hari ini Penguatkuasa MPPD menjalankan operasi menangkap lembu berdasarkan aduan yang diterima.

"Operasi tangkapan lembu ini di buat di lokasi Bandar Springhill dan sebanyak 8 ekor Lembu (4 ekor dewasa dan 4 ekor anak) disita," katanya.

Katanya, seramai 11 anggota penguatkuasa terbabit dalam operasi susulan daripada aduan diterima.

"Kami sudah keluarkan amaran sejak Disember tahun lalu untuk pemilik menjaga haiwan ternakan daripada berkeliaran dan menimbulkan kacau ganggu di kawasan perumahan, kawasan lapang serta taman permainan tetapi masih ada yang degil.

"Pemilik ternakan ini sudah menuntut lembu ternakan mereka dan dikenakan kompaun sebanyak RM2,000 untuk empat ekor lembu dewasa mengikut Tindakan Undang-Undang Kecil Haiwan Ternakan lembu 1983," katanya.

Disiarkan pada: October 26, 2020 @ 9:01pm
d