mutakhir

Tiga pegawai kanan ATM dituduh rasuah [METROTV]

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Tiga pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) termasuk bekas Ketua Pengarah Bahagian Staf Perisikan didakwa di Mahkamah Sesyen,di sini, hari ini atas 17 tuduhan meminta dan menerima rasuah berhubung beberapa projek membabitkan Kementerian Pertahanan.

Tertuduh, Ketua Cawangan Peperangan Siber Strategik Bahagian Staf Perisikan Pertahanan, Leftenan Kolonel Che Ahmad Idris, 53; Penasihat Ketenteraan Menteri Pertahanan, Brigedier Jeneral Mohammed Feizol Anuar Ayob dan bekas Ketua Pengarah Bahagian Staf Perisikan, Leftenan Jeneral (B) Datuk Sheikh Mokhsin Sheik Hassan, 59; masing-masing mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa secara berasingan di hadapan Hakim Datin Sabariah Othman.

Menurut kertas pertuduhan, Che Ahmad didakwa atas lima tuduhan meminta dan bersetuju menerima RM500,000 serta menerima rasuah berjumlah keseluruhan RM105,000 daripada daripada Pengarah Urusan Syarikat FEHM Entity (FEHM Entity) Sdn Bhd, Elias Jemadi Tajudin, untuk mencadangkan pelantikan syarikat itu secara rundingan terus bagi Bahagian Staf Perisikan Pertahanan.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Kompleks Perumahan Tun Osman Jewa Kementerian Pertahanan, Jalan Padang Tembak, di sini, antara September 2019 dan April 2020.

Sementara itu, Mohammed Feizol pula didakwa atas lima tuduhan menerima rasuah berjumlah RM128,000 daripada Pengarah Urusan Syarikat FEHM Entity, Elias Jemadi Tajudin, melalui anak perempuannya dan pengarah syarikat FEHM, Hishamuddin Johari untuk membantu menyerahkan surat niat untuk menjadi rakan strategik dan kontraktor senggaraan.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di beberapa lokasi sekitar Kuala Lumpur, antara 30 Oktober 2019 dan 24 Jun 2020 dan didakwa atas tuduhan sama.

Manakala, Sheikh Mokhsin turut didakwa atas tuduhan meminta dan bersetuju menerima RM1 juta serta empat tuduhan menerima RM266,000 daripada Elias Jemadi untuk meluluskan cadangan perlantikan FEHM Entity secara rundingan terus bagi Bahagian Staf Perisikan Pertahanan.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di beberapa lokasi antaranya di pejabatnya dan di sebuah hotel di Kuala Lumpur antara Jun 2019 dan Jun 2020.

Sementara itu, dia juga berdepan tuduhan menerima suapan RM50,000 daripada Syed Omar Syed Mohamad kerana melantik Syarikat Malvus Sense Sdn Bhd bagi dua sistem khas bagi Bahagian Staf Perisikan Pertahanan di pejabatnya, jam 2.30 petang, pada 26 Jun 2020.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana lebih tinggi.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Asraf Mohamed Tahir, Nik Isfahanie Tasnim Wan Abd Rahman dan Siti Noor Hafizan Zakaria masing-masing menawarkan jaminan RM100,000 terhadap ketiga-tiga untuk semua pertuduhan dengan seorang penjamin, berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan perlu melaporkan diri ke pejabat SPRM pada setiap bulan.

Siti Noor Hafizan Zakaria turut menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin terhadap Sheikh Mokhsin bagi pertuduhan ketujuh..

Bagaimanapun, kesemua tertuduh dalam rayuan masing-masing menerusi peguam Gooi Soon Seng, Azrul Zulfikli Stork dan Datuk Mohd Shahrom Mohamad serta P G Cyril memohon dibenarkan jaminan rendah dengan alasan mempunyai tanggungan isteri dan anak serta tidak akan melarikan diri.

Mahkamah kemudian membenarkan Che Ahmad dijamin RM80,000; Mohammed Feizol dijamin RM60,000 dan Sheikh Mokhsin dijamin RM110,000.

Mahkamah kemudian menetapkan 27 November ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Disiarkan pada: October 27, 2020 @ 1:47pm
d