mutakhir

NGO disaran bekerjasama dengan KKM [METROTV]

Oleh Rafidah Mat Ruzki dan Noor Atiqah Sulaiman

Putrajaya: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mahu membantu di lapangan termasuk di Sabah, diminta menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mengelakkan mereka daripada dijangkiti Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya sedar ada antara NGO bergerak sendiri menjalankan aktiviti di lapangan.

"Kami bimbang, misalnya mereka berada di lapangan dan memakai peralatan perlindungan peribadi (PPE), tetapi terlupa memakai sarung tangan atau kawalan jangkitan berkaitan.

"Hasrat mereka murni, tetapi kamu perlu melindungi NGO ini kerana petugas barisan hadapan turut terkena jangkitan, apatah lagi NGO yang berada di lapangan," katanya pada sidang media harian Covid-19, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, pihaknya mengesan ada antara NGO dijangkiti dan mencetuskan kluster sebaik mereka pulang dari Sabah termasuk di Selangor.

Justeru, beliau berkata, pihaknya berharap supaya NGO dapat bekerjasama dengan KKM untuk memudahkan kementerian itu memberikan latihan asas pencegahan jangkitan Covid-19.

Pada masa sama, katanya, ia memudahkan koordinasi bantuan di lapangan serta mengelakkan berlaku pertindihan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 27, 2020 @ 8:26pm
    d